Monday 7 March 2011

TAJUK : Mualaf

DISEDIAKAN UNTUK :
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU 551

DISEDIAKAN OLEH : Alia Nadira binti Abd Rahim
No. Matrik : 2010203108
Kumpulan : BMB2Bc

PROGRAM : Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan(Kepujian)
Pengurusan Sumber Manusia (BM223)

TARIKH HANTAR : 7 Mac 2011




ISI KANDUNGAN

      i.            TAJUK
   ii.            ISI KANDUNGAN
iii.            ABSTRAK
 iv.            PENDAHULUAN
    v.            LATAR BELAKANG
 vi.            SEBAB- SEBAB TERTARIK DENGAN ISLAM
vii.            PENGALAMAN PAHIT/ CABARAN
viii.            SUMBANGAN
 ix.            KESIMPULAN
    x.            RUJUKAN


TOKOH ISLAM : MUALAF
‘’Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu Kitab ALLAH S.W.T dan Sunnah Rasul-NYA.’’-Riwayat Malik.

ABSTRAK

    Al- Quran merupakan kitab suci yang telah diturunkan oleh ALLAH S.W.T untuk dijadikan sebagai panduan hidup seluruh umat Islam yang hidup di muka bumi ini sebagai bekalan di Hari Akhirat. Kandungan Riwayat Malik ini telah membuka pintu hati seorang hamba ALLAH yang dalam kekeliruan dalam mencari erti hidup yang sebenar. Hati beliau telah tertarik untuk mengetahui apakah rahsia Kitab Al- Quran yang menjadi sanjungan seluruh umat Islam di dunia. Beliau sentiasa ingin mengenali dan mendalami keindahan Kitab suci ALLAH.  Alhamdulillah, atas bantuan rakan-rakan dan dorongan serta sokongan daripada guru-guru beliau akhirnya menemui cahaya yang dicarinya selama ini. Menghayati dan memperhalusi, tanpa sebarang keraguan pada tahun awal 2009 beliau mengucap kalimah syahadah. Hanya Tuhan yang tahu kedamaian dan ketenangan yang diperoleh setelah beliau bergelar saudara Islam.


PENDAHULUAN

    Mualaf merupakan saudara baru yang telah memeluk Islam disebabkan oleh kehendak mereka untuk mengenali agama ALLAH yang indah ini. Mereka merupakan golongan yang wajib dibantu agar mereka tidak kembali kepada pegangan lama mereka. Mereka telah diberi kelebihan mendapat hidayah daripada ALLAH S.W.T untuk menjadi sebahagian daripada ahli Syurga-NYA. Salah seorang contoh saudara baru yang telah saya temubual ialah Saudara Abd Razak bin Abdullah. Beliau merupakan salah seorang hamba-NYA yang telah  mendapat petunjuk untuk menjadi manusia yang lebih sempurna.

LATAR BELAKANG

    Beliau diberi nama sebagai Suresh a/l Maniam namun setelah memeluk Islam beliau telah menukar nama kepada Abd Razak bin Abdullah. Beliau selesa dengan nama ini yang telah dipilih bersama-sama teman seperjuangan yang sentiasa menyokong beliau. Abd Razak telah dilahirkan pada tanggal 25 Ogos 1990. Beliau merupakan anak ke tiga daripada lima adik beradik. Beliau mempunyai seorang abang, kakak dan dua orang adik perempuan. Abd Razak dan keluarganya menetap di Taman Kerian, Parit Buntar bersama-sama keluarganya. Mereka merupakan keluarga yang hidup dalam keadaan sederhana. Kini, beliau hanya tinggal bersama-sama dengan kelurga tanpa kehadiran bapa tercinta yang telah menghembuskan nafas terakhir tiga tahun yang lalu akibat kemalangan. Kejadian ini telah menjadikan beliau seorang anak yang lebih tabah dan belajar memikul tanggungjawab keluarga di samping abang sulungnya. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerian di Parit Buntar, Perak dari darjah satu hingga darjah enam. Seterusnya beliau telah menyambung pengajian di peringkat menengah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Methodist dan memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) beliau. Akhirnya beliau telah memilih untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang dan menyahut cabaran untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Beliau telah mengambil mata pelajaran Ekonomi sebagai subjek utama. Akhirnya pada awal tahun 2009 semasa beliau di Tingkatan Enam Atas beliau telah memeluk Islam atas bantuan pelbagai pihak yang sentiasa menjadi tulang belakang beliau.

SEBAB- SEBAB TERTARIK DENGAN ISLAM

    Abd Razak bin Abdullah mempunyai sekeping hati yang sentiasa berasa gembira apabila beliau terdengar ayat-ayat suci Al-Quran yang kadangkala didengarnya tanpa sengaja. Pertama kali beliau berasa tertarik dengan Islam ialah ketika berumur 13 tahun, beliau telah terdengar laungan azan yang dialunkan di surau berhampiran kawasan taman perumahan yang didiami beliau dan keluarga. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan berasa sayu tanpa sebab. Mulai dari saat itu beliau mula mendekatkan diri untuk mengenali Islam. Peluang untuk menuntut ilmu digunakan dengan sebaiknya tanpa perasaan ragu-ragu. Setiap kali mata pelajaran Agama Islam beliau tidak akan keluar kelas malah  menumpukan sepenuh perhatian berbanding subjek- subjek yang lain. Beliau amat menyukai sejarah perjuangan para nabi yang diajar oleh ustaz kelas beliau. Beliau mengagumi kecekalan dan ketabahan yang ditunjukkan oleh para nabi terutamanya nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. Ketenangan Baginda ketika menghadapi musuh dan pelbagai dugaan telah mengagumkan Abd Razak sehingga beliau ingin menjadi seperti Baginda. Ketika berada di tingkatan lima beliau telah nekad untuk mengambil mata pelajaran Tasawwur Islam sebagai subjek tambahan dalam peperiksaan SPM. Alhamdulillah, berkat usaha beliau, beliau telah memperoleh keputusan yang cemerlang iaitu B. Hal ini telah menyebabkan beliau lebih bersemangat untuk mendekati agama Islam. Antara sebab lain beliau tertarik dengan Islam ialah keadaan faktor persekitaran. Sejak kecil lagi hidup beliau telah dikelilingi oleh persekitaran dan orang Melayu yang mengamalkan ajaran Islam. Kawan- kawan beliau juga kenyakannya terdiri daripada orang Islam. Hal ini secara tidak lansung telah mempengaruhi kehidupan beliau sebagai penganut agama Hindu. Beliau kadangkala lebih selesa mengamalkan cara hidup Islam yang sudah sebati dalam diri.


PENGALAMAN PAHIT/ CABARAN

    Sebagai seorang manusia yang sedang mencari erti hidup sebenar, beliau terpaksa melalui pelbagai cabaran pahit yang kadangkala membuatkan beliau sedih dan kecewa namun atas sokongan pelbagai pihak beliau tetap kuat untuk meneruskan niat beliau untuk mencari Nur Ilahi. Antara cabaran tersebut ialah keinginan beliau yang ingin mendekati Islam sebenarnya tidak disenangi oleh saudara mara. Perbuatannya yang sering ingin mendekati Islam telah menyebabkan beliau disindir. Mereka tidak percaya bahawa beliau mampu untuk menjadi seorang Islam. Mereka mengatakan banyak perkara yang mereka amalkan terpaksa ditinggalkan sekiranya masuk Islam. Pegangan nenek moyang selama berabad- abad perlu dilupakan dan ini menyebabkan mereka marah. Mereka tidak mahu roh nenek moyang mereka marah seterusnya menyebabkan bala kepada keluarga mereka. Namun, perkara tersebut lansung tidak mematahkan semangat Abd Razak untuk meneruskan perjuangan beliau mencari sebuah kehidupan yang kekal abadi seperti yang dijanjikan oleh ALLAH S.W.T.
    
 Cabaran beliau tidak terhenti di situ. Sesudah memeluk Islam beliau masih terpaksa mengharungi hidup sebagai saudara baru yang kadangkala seperti dipinggirkan oleh segelintir pihak. Hal ini kerana, selepas menamatkan pengajian beliau di peringkat STPM beliau melanjutkan pelajaran di sebuah kolej yang terdapat di Kuala Lumpur. Teman- teman yang belajar bersama beliau di situ kebanyakannya sering memperkecilkan beliau kerana menukar agama. Hal ini kerana, kebanyakan mereka merupakan orang bukan Islam yang mengamalkan hidup sosial sesama mereka. Oleh itu, sebagai saudara baru beliau perlu bijak membawa diri dan tetap dengan pendirian beliau. Beliau perlu sentiasa bersabar dan sentiasa memohon petunjuk Ilahi agar ditetapkan iman dan mampu mengharungi kehidupan yang penuh onak dan duri.



SUMBANGAN

    Sebagai seorang saudara Islam yang baru memeluk Islam beliau ada juga memberi sumbangan beliau kepada masyarakat dan keluarga beliau. Antara sumbangan tersebut ialah selepas peperiksaan STPM, cuti panjang yang terluang banyak dihabiskan untuk mendalami agama Islam. Beliau belajar dengan seorang ustaz di sekolah  dan kadangkala membantu beliau mengajar kanak- kanak pra- sekolah membaca Iqra’.
   
 Selain itu, beliau turut bersama- sama penduduk taman melakukan gotong- royong membersihkan kawasan surau dan masjid. Aktiviti seperti ini secara tidak lansung telah merapatkan hubungan beliau dengan penduduk taman dan mengukuhkan silaturrahim sesama mereka. Beliau juga rajin pergi ke surau untuk mendengar kuliah agama. Kuliah seperti ini telah menambahkan ilmu pengetahuan yang lebih kepada beliau.



KESIMPULAN

    Sebagai kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah membantu sesama saudara Islam terutamanya saudara baru yang ingin mula mengenali Islam dengan lebih mendalam. Kita perlulah memberi sokongan moral kepada mereka. Sekiranya mereka melakukan kesalahan kita perlu menegur mereka dengan penuh diplomasi agar mereka tahu bahawa Islam itu sebuah agama yang penuh dengan keindahan.


RUJUKAN

-          Saudara Abd. Razak bin Abdullah
Ustaz Abd Aziz bin Harjin